|
PUTRAJAYA 28 Jan. – Pemilik kenderaan yang
meningkatkan penggunaan peralatan keselamatan pada kenderaan masing-masing
bagi mengelak daripada dicuri akan dikenakan bayaran premium insurans
yang lebih rendah pada masa depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein (gambar) berkata, langkah itu dianggap sebagai ganjaran
kepada pemilik kenderaan terbabit yang berusaha mengelakkan kenderaan
mereka daripada dicuri.
“Bagi merealisasikan perkara ini, jawatankuasa
pemandu di bawah Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Bermotor
yang diterajui Bank Negara Malaysia (BNM) akan membincangkan dan
menetapkan polisi mengenai ‘Proportional Insurance Premium’.
“Perbincangan yang dijadualkan pada bulan
depan turut melibatkan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan
BNM bertanggungjawab untuk menyediakan tarif insurans itu,” katanya
dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Ketika ini, tiada keistimewaan diberikan kepada
mana-mana pemilik kenderaan yang menambah peralatan keselamatan
pada kenderaan masing-masing.
Dalam kenyataan akhbar yang sama, Hishammuddin
percaya jumlah tangkapan dalam ‘Ops Lejang’ yang dilancarkan
oleh polis bagi membanteras kegiatan curi motosikal mulai 1 Januari
lalu akan meningkat sebaik sahaja ia berakhir penghujung bulan
ini.
Justeru, beliau berharap kertas-kertas siasatan
dapat disiapkan dengan segera supaya mereka yang ditahan dalam
operasi itu didakwa di mahkamah.
“Penyelesaian segera siasatan kes itu akan
memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat bahawa kerajaan tidak
bertolak ansur dengan aktiviti curi motosikal di seluruh negara,” katanya.
Sehingga Ahad lalu, sebanyak 137,622 motosikal
telah diperiksa di seluruh negara dan hasilnya, sebanyak 658 tangkapan
dilakukan dan 619 motosikal serta komponen dirampas.
Tangkapan tertinggi diadakan di Johor melibatkan
170 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 75 kes dan Terengganu 69
kes.
Daripada keseluruhan yang ditangkap sehingga 24
Januari lalu itu, sebanyak 119 kes telah didakwa di mahkamah.
|